Wednesday, January 30, 2013

Talam Jagung

20130130_211631

Macam boleh terdengar abah comment – “Another talam” ha..ha..ha.. Terasa nak makan. Hari ini Talam Jagung. Resepi ini saya salin beberapa hari yang lepas (tak ingat dari laman mana). Terima kasih kepada tuan punya resepi. Saya reduce bahan kepada setengah sahaja (keluarga kami tak ramai, resepi asal menggunakan  loyang 10 X 10 in. banyak tu..)  Selain dari itu, saya dah ubah kiraan metrik kepada cawan bagi memudahkan saya buat kuih ini in the future. Here is the resepi

Santan – Saya guna 2 kotak santan segera (200ml setiap satu) dicampur dengan 600 ml air menjadikannya 1000 ml (1liter). Saya bahagi 2 campuran ini iaitu 600 ml untuk bahagian A (bawah) dan 400 ml untuk bahagian B (atas)

Bahan-bahan untuk bahagian A (lapisan bawah)

  • 11/2 cawan tepung beras
  • 1/3 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung ubi
  • 1/2 cawan gula kastor
  • sedikit pewarna kuning
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 tin jagung cream (saya guna yang dalam tin 440ml banyak tu sebab saya peminat jagung..)

Bahan-bahan untuk bahagian B (lapisan atas)

  • 3/4 cawan tepung gandum
  • 3/4 cawan gula kastor
  • 1 biji telur
  • pewarna hijau
  • esen pandan
  • sedikit garam

Kaedah saya buat kuih ini.

  1. Minyakkan loyang (7 in X 7 in)
  2. Panaskan kukusan
  3. Masukkan Santan (A) – 600 ml kedalam blender. Masukkan semua bahan A kecuali jagung. Blend sebati.
  4. Tapis campuran bahan A kedalam periuk. Masukkan cream jagung.
  5. Masak menggunakan api sederhana sambil dikacau sehingga keluar wap dalam 7-10 minit.
  6. Masukkan dalam loyang dan kukus selama 25 minit.
  7. Apabila waktu memasak bahan A tinggal 10 minit untuk tamat, campurkan semua bahan B dalam blender. Blender seketika.
  8. Masak menggunakan api sederhana sambil dikacau sehingga keluar wap. Tutup api.
  9. Keluarkan loyang dari kukusan, lap air yang berada diatas adunan dengan kertas tisu dapur, carikkan sedikit dengan menggunakan garfu.
  10. Masukkan adunan bahagian B yang telah dimasak sebentar tadi. Kukus selama 25 minit lagi.

Nota:

  • Saya menggunakan bekas corning bersaiz 6 in X 6 in, so kuih saya tebal sikit :) . Tak sangkalah pula banyak juga adunan ni

20130130_144523

  • Adunan bahagian atas akan naik sedikit sewaktu mengukus. Mungkin kerana kehadiran telur. Jangan risau kerana ia akan turun kembali apabila telah sejuk.

Selamat mencuba…Jom makan Talam Jagung

20130130_211617

Talam Berlauk

20130130_065348

Hari ini teragak nak makan kuih talam berlauk. Merayau diInternet untuk mendapatkan resepi yang menarik. Ini adalah catatan pengalaman saya buat kuih ini berpandukan beberapa resepi kuih ini. Inilah hasilnya. Dan rasanya sedap..sedap..sedap.. Bagi yang ingin mencuba, saya berkongsi pengalaman tersebut..

Bahan-Bahan.

Bahan A – Inti

  • 200 g ayam/daging kisar
  • 2 sudu besar udang kering – ditumbuk
  • 1 biji kentang kecil didadu kecil
  • 1 labu bawang besar didadu kecil
  • 3 ulas bawang putih diracik halus
  • 2 sudu besar serbuk kari
  • 1/2 batang lobak didadu kecil
  • 1 cawan air
  • 2 sudu besar minyak
  • 1 sudu besar gula
  • sedikit garam
20130129_195047

Kaedah membuat inti

  1. Panaskan kuali, masukkan minyak
  2. Tumis bawang putih, bawang besar.
  3. Masukkan rempah kari dan udang kering tumis sekejap, masukkan air.
  4. Masukkan kentang, ayam kisar, masak seketika sehingga ayam dan lobak masak.
  5. Masukkan lobak , garam dan gula. Kacau sehingga kering.
  6. Angkat dan sejukkan.

20130129_205225

Bahan C – hiasan

  • 2 biji cili merah, dibuang biji dan diracik halus
  • sedikit daun sup dan daun bawang diracik halus
  • Sedikit bawang goreng

Bahan B – Bahagian Bawah

  • 1 cawan tepung gandum
  • 3 sudu besar tepung jagung
  • 1 kotak (200 ml) santan
  • 2 cawan air
  • 1 sudu teh garam
  • 1 biji telur

Kaedah membuat bahagian kuih.

  1. Panaskan kukusan.
  2. Sapu minyak pada loyang. (Saya guna loyang 7in X 7 in)
  3. Masukkan telur, garam, santan dan air dalam blender.
  4. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung.
  5. Blender sampai sebati.
  6. Masukkan dalam loyang dan kukus selama 20 minit.
  7. Keluarkan loyang dari kukusan. Buang air diatas adunan sekiranya ada.
  8. Gunakan garfu untuk melorek-lorekkan bahagian atas tepung.
  9. Letak inti atas tepung.
  10. Kukus selama 10 minit.
  11. Taburkan Bahan daun sup dan cili merah.
  12. Kukus lagi selama 5 minit.
  13. Taburkan bawang goreng.
  14. Angkat dan sejukkan sebelum dipotong (dalam 3-4 jam).
20130129_213145

Wow..nampak macam complicated tapi tak adalah susah sangat.

Ok..Selamat Mencuba…

Monday, January 28, 2013

Kuih ketayap / Kuih Gulung

Saya masih ada inti kelapa yang digunakan dalam resepi kuih koci tempohari. So hari ini dengan menggunakan inti tersebut, saya buat kuih ketayap atau lebih dikenali sebagai kuih gulung. Ini adalah salah satu kuih yang emak suka buat satu ketika dulu. Nostalgia kejap.. Kalau inti dah ada, adunan ini menghasilkan  7-8 gulung kuih dalam masa setengah jam.

20130128_171356

Ada dua bahagian untuk buat kuih ini. Yang pertama ialah inti kelapa. Ada dalam resepi kuih koci disini. Bahagian kedua adalah kulitnya seperti dibawah.

Kulit kuih gulung

Bahan-bahan

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan air
  • 1 cawan santan yang beli kat kedai tu
  • sedikit garam
  • 1 sudu teh pewarna hijau
  • 1 sudu teh esen pandan
  • 1 sudu minyak masak
  • 1 biji telur
  • sedikit minyak untuk dileser pada kuali

Kaedah membuat kulitnya

  1. Masukkan air, santan,  pewarna, esen, telur dan minyak dalam blender (yap dalam blender)
  2. Masukkan tepung gandum dan blend semua bahan sehingga sebati dan tepung tidak bergentel
  3. Panaskan kuali leper, sapu minyak masak agar tepung tidak melekat pada kuali.
  4. Kecilkan api dan letak 1 senduk air adunan tepung. Dengan segera agihkan tepung dengan membuat bulatan dengan menggunakan belakang senduk air.
  5. Besarkan sedikit api dan masak hingga kulit kuih masak. Saya terbalikan lepas seketika bagi memastikan bahagian dalam masak. Angkat kulit, letakkan dalam pinggan untuk proses menggulung.

Proses menggulung kuih

  1. Letakkan sedikit inti kelapa di satu hujung.
  2. Lipat dikiri dan kanan kulit kuih.
  3. Gulung kuih kearah hadapan.

Petang ni, minum teh dengan emak dihalaman rumah dengan teh panas dan kuih ketayap.

20130128_171801

Ti.. cubalah nanti beritahu kak tih jadi ke tidak….

Sayur hari ini

20130128_130922
Peminat tegar sayur taugeh….

Kuih ‘jump snap’ (Lompat Tikam)

Wah..ganas nama kuih ni apabila diterjemah ke Bahasa Inggeris :) . Terasa macam nak makan kuih ni. Kalau beli satu bekas tu RM2.00. Rasa macam tak berbaloi pulak sebab bahan-bahan yang digunakan untuk buat kuih ni tak adalah mahal sangat. So petang tadi cubalah buat kuih ni. Dan inilah hasilnya…
20130128_104800
Dah buat kuih ni barulah saya perasan kenapa harga kuih ini agak mahal dan saya tabik spring kat mereka yang buat kuih ini dan  kuih-kuih yang seangkatan dengannya  setiap hari untuk mencari rezeki. Next time saya bayar ajelah :). Sememangnya ramuan kuih ini tidak banyak. Kalau baca resepi, the first thing kita akan cakap ..”Senangnya nak buat kuih ini” ..stooop tunggu kejap, saya rasa anda memerlukan kesabaran yang tinggi dan tenaga yang banyak untuk buat kuih ni. No kidding. It is not return in the resepi yang anda perlu mengacau  adunan kuih ini  sehingga warnanya berkilat. That is more than 30 minutes. On top of that, apabila dah pekat kuih ini lagi susah untuk dikacau. Saya surrender, selepas 30 minit, saya masuk kuih dalam bekas and microwave for about 5 minutes. Smile (Shhh. jangan cakap dengan emak. sebab emak punyalah puji kuih saya sedap and rajinnya saya nak buat kuih ni hehehe. Saya hanya senyum… )
Ok bagi sesiapa yang ‘rajin’ nak mencuba, ini adalah resepinya.. Resepi ini saya ambil dari Internet yang saya olah sedikit. Ada 3 modul untuk buat kuih ini iaitu kuah gula Melaka, bahagian atas (yang putih) dan bahagian bawah (yang hijau). Kita mula dengan yang mudah dulu – kuah gula melaka.
A) Kuah gula melaka
Bahan-bahan :-
  • 11/2 keping gula melaka,
  • 11/2 cawan air,
  • sehelai daun pandan.
Kaedah Memasak
  • Campur semua bahan dalam periuk dan masak sehingga semua gula melaka larut. (Saya tak campur gula pasir sebab saya rasa dah cukup manis)
  • Asingkan 1/2 cawan untuk diletak dalam bahan B
B) Bahagian bawah (hijau)
Bahan-bahan -
  • 2 cawan tepung beras
  • 3 cawan air
  • 1 cawan air daun pandan (7 helai daun pandan dikisar bersama 1 cawan air dan ditapis)
  • 1/2 camca teh  garam
  • 1/2 camca besar air kapur
  • sedikit pewarna hijau
Kaedah membuat-
  • Campur semua bahan kecuali air kapur dalam periuk.
  • Masak atas api sederhana sambil dikacau sehingga agak likat (Dalam 10 minit)
  • Masukkan air kapur dan 1/2 cawan air gula melaka dari bahagian (A) (saya suka bahagian bawah ni manis sedikit).
  • Masak sambil dikacau sehingga berkilat (Dalam 30-40 minit)
  • Masukkan dalam bekas (saya guna bekas 6in X 6 in X 3 in)
C) Bahagian Atas
  • 1/2 cawan tepung beras
  • 2 cawan santan
  • 1/2 camca teh  garam (biar masin sedikit baru rasa lemaknya)
Kaedah membuatnya
  • Campur semua bahan
  • Masak sehingga pekat (Dalam 15 minit – Jangan masak lama-lama nanti santan jadi berminyak)
  • Letak atas adunan B
Nota:
  • Kuih ini perlu disejukkan at least 4-5 hours bagi memudahkan ianya dipotong.
  • Memasukkan air kapur kemudian adalah untuk mengelakkannya dari bergentil – Itu petua emak (terima kasih emak)
  • Di Terengganu, kuih ini dimakan bersama pulut merah.
  • Walaupun letih mengacau kuih ni, tapi saya suka hati sebab semua tukang makan kata sedap… suka suka. suka..
Selamat mencuba.

Sunday, January 27, 2013

Kerabu Daun Ceylon

Jom kenali ulam-ulam kita…

daun selomDaun Ceylon

cekur Daun Cekur

daun-kadukdaun Kadok

Daun ceylon /selon  dijual dipasar dengan harga seringgit seikat (lebih kurang sama dengan harga kangkung). Daun cekur dan kadok biasanya tiada dipasar biasa, mungkin ada di pasar tani (Saya tanam dirumah) . Diantara ulam yang akan saya beli setiap kali ke pasar untuk buat kerabu ialah daun ceylon. Saya tak tahu apa khasiat daun-daun ini tapi saya suka rasanya yang sedikit pahit (tidaklah sepahit peria)

20130127_131118

Bagi yang ingin mencuba masakan ini, disertakan resepinya.

Bahan-bahan

  • seikat daun ceylon
  • 10 helai daun cekur manis
  • 5 helai daun kaduk
  • beberapa tangkai daun kesom (ambil daun)
  • 1 batang serai dihiris halus
  • 1 biji lada merah (saya tak berapa suka makan pedas – kalau nak lagi pedas hiriskan cili kecil)
  • 3 ulas bawang merah dihiris halus
  • 1 biji bawang putih.
  • 2 ekor ikan selayang direbus dan dibuang tulang. Dihancurkan sedikit isinya.
  • 2 sudu udang kering.
  • 1 cawan kelapa parut (yang putih sahaja)
  • 2 biji limau kasturi.

Kaedah membuatnya

  1. Hiris semua ulam-ulaman – daun ceylon, daun cekor, daun kaduk, daun kesum.
  2. Tumbuk udang kering, lada merah, serai, bawang putih. sehingga lumat.
  3. Masukkan bahan tumbuk, kelapa parut, isi ikan dan sedikit garam dalam kuali dan goreng sehingga kelapa agak kering dan bahan-bahan digaul dengan rata.
  4. Matikan api. Biar kelapa sejuk sedikit. Masukkan semua ulaman, air limau kasturi,  hirisan cili kecil (jika perlu) dan hirisan bawang merah. Gaul rata.

Jika suka boleh letak sedikit taugeh. Sedap makan dengan nasi dan budu !!!. Selamat mencuba…

Asam pedas ikan cermin

20130127_125203

Saya suka makan asam pedas. Mungkin kerana saya dibesarkan diJohor yang memang terkenal dengan berbagai jenis asam pedas. Ikan memainkan peranan yang besar dalam masak asam pedas. Hari ini saya kepasar dan bertemu dengan ikan cermin yang baru naik dari laut. Right away, terdetik dalam hati..masak asam pedas ikan cermin hari ini..So this is the resepi bagi yang berminat..

Bahan-bahan

  • 2 ekor ikan cermin sedang (ikan yang besar isinya keras dan tak sedap untuk masak asam pedas)
  • 1 batang serai
  • 1 sudu teh pes asam jawa
  • 2 sudu cili boh (saya tidak kuat pedas)
  • 1/2 sudu teh  kunyit serbuk
  • sedikit bjiji sawi
  • sedikit daun kesom
  • sebatang bunga kantan (jika ada, di Dungun harga bunga kantan RM2.00 sebantang)
  • sedikit garam
  • sedikit minyak untuk menumis
  • sedikit penumis
  • 2 hiris lengkuas
  • beberapa batang kacang bende / terung / tomato (jika suka)
  • 1/2 cawan air

(banyaknya bahan..)

Bahan-bahan kisar / tumbok

  • 4 biji bawang besar
  • 2 biji bawang kecil
  • sedikit belacan

Kaedah membuatnya

1) Tumis biji sawi dan penumis sebentar, masukkan bahan kisar, biarkan seketika sehingga naik bau, masukkan lada boh, serai, serbuk kunyit dan lengkuas. Biarkan beberapa minit sehingga lada masak.

2) Masukkan pes , asam jawa,  air, daun kesom/ batang bunga kantan , kacang bende / terung, garam,. Biarkan seketika sehingga betul-betul mendidih,

3) Masukkan ikan biar seketika ( dalam 5-8 minit) sehingga ikan masak, masukkan tomato dan angkat.

Selamat mencuba…

Happy 13th birthday -Haqim

20130125_112707
25/1/2013 – Ehm.. anak mama telah berusia 13 tahun. 13 beautiful years yang menyerikan kehidupan abah dan mama :) . Hari ini, kami beli kek dari hotel UiTM and KFC buckets. Kami bawa ke rumah Mak Da supaya Haqim dapat meraikannya bersama his cousins. Terima kasih Mak Da yang masakkan lauk ayam kampung lagi untuk Haqim. Semoga anak mama panjang umur, murah rezeki dan menjadi insan yang soleh, yang berbakti kepada agama bangsa dan negara. Ameen…
Happy birthday sayang…

Tuesday, January 22, 2013

Kuih Seri Muka

Kuih Seri Muka anyone….

20130122_160929

Lama dah tak makan kuih ni. So semalam saya merayau-rayau kat laman orang untuk cari resepi. Ehm macam-macam resepi kuih seri muka saya jumpa. Akhirnya guna resepi kuih seri muka dari buku 1 hari 1 resepi oleh Chef Hanieliza. Resepi ini saya ubah sikit sebab kat rumah ada beberapa orang saja. Masak banyak-banyak nanti membazir. (In fact that is my problem – mendapatkan resepi yang cukup untuk 2 orang sahaja instead of 4 people :). Anyway ini adalah resepi kuih seri muka Norlela .

Bahan A

  • 11/2 beras pulut direndam at least 3 jam
  • 1 cawan santan pekat + 1/2 cawan air
  • 1 helai daun pandan
  • sedikit garam.

Bahan B (dikisar)

  • 6 helai daun pandan
  • 2 helai daun limau purut
  • 1/2 cawan air

Bahan C (lapisan atas )

  • 1 cawan santan pekat
  • 1/2 cawan air daun pandan (Bahan B dikisar dan ditapis)
  • 1 sudu teh pewarna hijau
  • 1/3 cawan gula pasir – Kuih ini memang tidak manis. Tambah gula kepada 1/2 cawan kalau nak manis sikit.
  • 1/3 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung kastad
  • 1 bjii telur
  • 1/2 sudu teh  jintan manis
  • sedikit garam

Kaedah membuat

  1. Kukus Bahan A sehingga masak. Perlu dikacau beberapa kali untuk memastikan santan rata dengan pulut. Saya menggunakan bekas  6.5 in X 6.5 in X 3 in. Masak dalam 30 minit.

20130122_133300

  1. Kisar Bahan B.
  2. Tekan pulut yang telah dimasak agar mampat.
  3. Campurkan semua bahan C dalam periuk. Kacau rata bagi memastikan tepung tidak berketul-ketul.
  4. Panaskan sedikit adunan  atas api sambil dikacau sehingga panas (tidak sehingga mendidih) Adunan akan menjadi sedikit pekat.
  5. Tuang adunan atas pulut perlahan-lahan dan kukus lagi selama 30-35 minit sehingga masak.
  6. 20130122_145140
  7. Ehm kena tunggu sehingga kuih benar-benar sejuk sebelum dipotong.

Selamat Mencuba

Nota: Saya suka letak limau purut dan jintan manis agar kuih bau wangi macam kuih bakar Melaka Smile , tapi masih tidak terletak bawang merah lagi sebagaimana laman seorang chef. Mungkin kalau letak bawang lagi sedap kot – next timelah. Saya juga perhatikan ada laman yang menggunakan tepung jagung instead of tepung kastard. Ehm.. maybe next time cuba dengan tepung jagung pula.

Ayam Percik Badam

20130122_134150

Salah satu makanan kegemaran abah ialah ayam percik dan ikan percik. Dah lama tak makan ayam percik, so hari ni masak ayam percik badam untuk abah. Saya guna badam untuk memekatkan kuah dan menghasilkan kuah percik yang kurang berminyak. So bagi sesiapa yang ingin mencuba, here is the resepi -

Bahan-bahan

  • 1/2 ekor ayam dibelah dua
  • 1 1/2 cawan santan pekat (Dalam RM2.00 harga pada masa ini)
  • 3 helai daun limau purut dihiris halus
  • 1/2 kpg gula manisan yang kecil
  • 3-4 sudu besar cili kisar
  • 2 keping asam keping
  • sedikit garam

Bahan-bahan untuk dikisar

  • 5-6 biji badam
  • 5 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • sedikit lengkuas
  • 1 cawan air

Kaedah untuk membuat.

  1. Kisar bahan-bahan yang perlu dikisar.
  2. Masukkan semua bahan dalam kuali kecuali ayam. Kacau rata.
  3. Masukkan ayam dan masak dengan api sederhana sehingga ayam masak dalam 30 minit. Terbalikkan ayam beberapa kali untuk memastikan ayam masak.
  4. Masak ayam dan sediit sos dalam ketuhar selama 30 minit lagi bagi menggaringkan ayam.

20130122_134158Selamat mencuba

Nota: Resepi ini akan menghasilkan lebihan kuah percik yang boleh digunakan untuk ikan percik pula Smile.

Monday, January 21, 2013

Kuih Koci pulut hitam

20130121_153610

Susah nak dapat kuih koci pulut hitam kat Terengganu. Kuih ini tidak se popular keropok atau pulut panggang. Sudah beberapa kali saya ke Kedai Nasi Lemak Nogeri kat Paka tapi kuih koci dah habis (baru pukul 8:30 pagi). So hari ni saya buat kuih ini untuk melepaskan gian :).  Bagi yang berminat untuk buat kuih koci ni, Ini adakah resepi yang diturunkan oleh emak kepada saya.

Inti kelapa

  • 1/2 biji isi kelapa yang putih ( kalau dapat kelapa muda buat inti sedap juga)
  • 11/2 buku manisan (gula melaka yang bulat tu) – Kalau nak manis boleh tambah lagi
  • sedikit garam
  • 2 sudu tepung gandum / tepung jagung untuk melekatkan inti
  • 1/2 cawan air.
  • sehelai daun pandan

Kaedah memasak

  1. Panaskan kuali, masukkan air, gula melaka, dan daun pandan dalam kuali. Biarkan mendidih sehingga gula melaka hancur.
  2. Masukkan kelapa dan gaul sebati. Masukkan garam. Biar kering seketika.
  3. Gunakan sudu dan taburkan tepung gandum dalam inti sambil dikacau sehingga kering.
  4. Sejukkan sebelum digunakan.

Kuih koci

Bahan-bahan untuk 15 biji kuih koci yang comel-comel :). Kalau keluarga besar kena gandakan adunan ni.

  • 11/2 cawan tepung pulut
  • 2 sudu tepung gandum (supaya kuih lembut apabila telah sejuk)
  • 2 sudu tepung pulut hitam (rendam 11/2 sudu pulut hitam semalamam. Toskan dan kisar dengan menggunakan pengisar kering sampai hancur. Tepung pulut hitam yang disediakan dikedai menyebabkan adunan keras.
  • 4 sudu besar santan pekat, campur sedikit garam dan air menjadikannya 1/2 mug.
  • daun pisang yang telah dilayur dan dipotong 5 in X 5 in.
  • sedikit minyak masak dan sedikit santan pekat dicampur sedikit garam – digunakan sewaktu membungkus
  • inti kelapa

Kaedah untuk membuat adunan

  1. Campurkan tepung pulut, tepung gandum dan tepung pulut hitam dalam bekas dan gaul sehingga rata.
  2. Masukkan santan yang telah dicampur dengan air sedikit sedikit sambil digaul. Sekiranya adunan keras campurkan sedikit air lagi.

Kaedah membuat kuih

1. Sediakan bahan-bahan

20130121_143439

2. Ambil sekeping daun pisang, sapu minyak agar kuih tidak melekat. Ambil adunan tepung, leperkan dan isi inti, bulatkan adunan. Isi ditengah  daun pisang. Letak satu sudu santan pekat. Bungkus daun pisang.

20130121_144111

20130121_150337

3. Kukus kuih dalam 30 minit – 40 minit.

Nota: Emak suka letak sedikit keledek rebus dalam adunan tepung, tapi saya tak berapa suka rasanya. Bagi yang tak kisah dengan kalori boleh masak santan pekat , sedikit garam dan tepung jagung hingga pekat. Letak dengan adunan sewaktu membungkus..sedap…

Good luck….

Monday, January 7, 2013

Bunga kaktus

Capture this morning. Comelnya..

20130107_074323

20130107_074332

Dah lama pokok ni tak berbunga.

Biasa tapi signifikan 4

20130103_195737

Abah belanja kami makan dan Haqim cannot resist temptation untuk memukul gong yang berada dipintu masuk restaurant...Ehm.. zaman kanak-kanak..

Haqim ke asrama..

scan0001_thumb

Terasa bagai baru semalam Haqim hadir dalam hidup kami..

20130105_085323

5/1/2013 – kami menghantar Haqim ke Al Amin di Kemaman. Haqim akan memulakan pengajian sebagai pelajar sekolah menengah. Since tiada sekolah seumpamanya di Dungun, kami menghantarnya ke Kemaman dan Haqim akan tinggal di asrama dan hanya boleh balik 2 minggu sekali.

20130105_112938

Ya Allah, tuhan saja yang tahu bagaimana hibanya saya melepaskan Haqim untuk tinggal diasrama. Saya rasa inilah perasaan emak dan lain-lain ibu yang meninggalkan anak mereka diasrama. Sepanjang 12 tahun Haqim tinggal bersama kami, selain dari kem sekolah, hanya beberapa hari sahaja Haqim dibenarkan oleh abahnya tidur dirumah saudara-mara. Kasihan melihatkan dia yang masih muda perlu hidup berdikari bersama rakan-rakan yang lain. Saya terasa kehilangannya terutamanya diwaktu pagi kerana waktu itulah kami sering berkomunikasi untuk memastikan Haqim pergi kesekolah pada waktunya Smile.

Kalau satu masa nanti Haqim terbaca entry ini, bukan niat mama untuk menyusahkan Haqim. Kami sedar, suasana dirumah yang ‘agak mewah’ bukanlah suatu keadaan yang sesuai untuk Haqim mengenali kehidupan yang sukar diluar sana. Kami berharap suasana keislaman yang disediakan di sekolah tersebut akan membentuk Haqim untuk menjadi insan yang soleh dan berilmu, insan yang suatu hari nanti akan berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Suasana tersebut tidak dapat kami sediakan dirumah. Sayangnya mama terhadap Haqim menyebabkan mama dan abah mengambil keputusan untuk menghantar Haqim kesekolah itu agar Haqim lebih berdikari, lebih bertanggungjawab disamping meningkatkan ilmu agama dan ilmu akademik. Hanya Allah yang tahu betapa sukar untuk kami melepaskan Haqim ditempat yang begitu asing baginya. Sebagaimana Allah pinjamkan Haqim sekejap untuk kami pelihara, hari ini kami lepaskan Haqim  dibawah jagaan Allah. Semoga dia mendapat perlindungan, petunjuk dan bimbingan dari Allah InsyaAllah. Pengalaman sendiri mengajar kami, walaupun Haqim akan balik sekali-sekala dan kami pastinya akan melawat dia pada hujung minggu, namun hubungan kami dengan Haqim pasti tidak akan serapat dulu lagi.

Anak mama, ambillah kesempatan ini untuk menimba pengalaman dan ilmu sebaik mungkin. Be brave..Semoga satu hari nanti, Haqim akan menjadi insan yang soleh yang berguna kepada umat islam. Ameen. For Haqim dan juga abah…

20130115_085508

Cross Stitch ini mama buat pada minggu pertama hantar Haqim ke asrama sewaktu dalam perjalanan dari Dungun ke Kemaman

Birthday Abah

20130102_155903

2 Januari 2013 Abah meninggalkan dunia 40an dan memasuki alam 50an. Syukur Allah panjangkan usia dalam keadaan sejahtera. Kami buat surprise dengan memasak makanan – a lot of food

20130102_163023

dan ajak rakan-rakan kerumah. Terima kasih keapada mereka yang sudi hadir dengan jemputan ‘segera’ dari kami.

20130102_182817

20130102_182840

Semoga abah berbahagia sentiasa, panjang umur dalam keadaan sihat sejahtera. Ameen..

Selamat Tinggal 2012, Selamat Datang 2013

New-Year-2012-Wallpapers[1]

Cepatnya masa berlalu. Selamat tinggal tahun 2012  yang banyak meninggalkan kenangan manis untuk saya.

color numbers shows year 2013

Selamat datang 2013 yang saya harapkan akan memberi banyak pengalamaan menarik.

Jubah_PhD

Top of the list of to do this year –- Complete my PhD. Moga diperkenankan Allah. Ameen..